Pengenalan Karangan Naratif

Contoh 1
Tujahan cahaya matahari menyelinap masuk menerusi kaca tingkapku. Aku terjaga dari tidurku yang nyenyak. Jam dinding menunjukkan pukul lapan pagi. Aku sudah terlewat untuk ke sekolah. Aku segera mencapai tuala. Tanpa aku sedari, bingkai gambarku jatuh ke lantai. Serpihan kaca dari bingkai gambar itu hancur berkecai. Tiba-tiba, ingatanku kembali menjangkau suasana masa lampau yang telah berlaku.



Contoh 2
Senja kian merangkak pergi. Matahari perlahan-lahan memberi ruang kepada Sang Bulan menerangi kegelapan malam. Begitulah peraturan alam ciptaan Tuhan. Namun, segalanya berubah dengan sekelip mata hanya kerana peristiwa itu.



Contoh 3
Malam itu bukan main gelapnya sehingga pokok-pokok di tepi jalan raya tidak kelihatan dengan jelas. Hujan lebat semenjak petang tadi masih mencurah-curah. Guruh berdentam-dentuk dan kilat sabung-menyabung. Sejuk bukan kepalang lagi sampai ke tulang hitam rasanya. Saat-saat begini membuatkan aku teringat tentang peristiwa yang berlaku itu.



Contoh 4
Sang Fajar menyuluh bumi. Ia seakan-akan tidak pernah lupa pada rutinnya. Pagi yang cerah dan bertemankan kicauan burung itu telah menceriakan suasana. Aku duduk berteleku memandang secangkir kopi yang telah disiapkan oleh pembantu rumah. Sekonyong-konyong, benak fikiranku diketuk.


Contoh 5
Mulutku terkunci, hatiku terkatup dan tenggelam dalam kepiluan. Awan mendung bergayutan di pelipis mataku. Mukaku bertukar menjadi merah-padam mengenang nasibku kini. Ingatanku masih segar kepada peristiwa yang berlaku beberapa tahun yang lalu.


No comments:

Post a Comment